Wednesday 28 December 2011

GANBAROU NIHON!



JENESYS (Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths) anjuran The Japan Foundation Japanese-Language Institute, Kansai yang bertempat di Osaka,

Nama Pelajar: Dwee Chiew Yen.

Pengalaman belajar bahasa Jepun : Bahasa Jepun Pertengahan 2 (Level 4)

Pelajar ini telah berjaya terpilih di antara 33 orang peserta dari sekitar negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Myanmar, Vietnam, Australia, New Zealand dan India untuk menyertai program Jenesys yang ditaja oleh Japan Foundation sepenuhnya ini. Program JENESYS mempunyai tiga objektif utama yakni untuk membolehkan peserta untuk menjadi lebih berkeyakinan ketika bertutur dalam bahasa Jepun, untuk menemui sesuatu yang baru tentang masyarakat dan budaya Jepun serta untuk menentukan matlamat pembelajaran bahasa Jepun secara realistik.

Pengalaman pelajar ini telah berjaya mendapat tempat di dalam SENADA edisi terbaru UKM.

Diharap dengan adanya terbitan seperti ini akan dapat memberi semangat kepada pelajar dan mempromosikan lagi Unit Bahasa Asing sebagai pilihan untuk mempelajari bahasa asing.


Artikel yang dipaparkan dalam SENADA. Sila dapatkan isu terbaru SENADA!

GANBAROU NIHON!

Peristiwa menjejakkan kaki di negara matahari terbit dari 8 Jun sehingga 20 Julai 2011 merupakan suatu pengalaman manis yang tidak akan dapat saya lupakan. Sebagai satu-satunya wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditawarkan untuk menyertai program JENESYS (Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths) anjuran The Japan Foundation Japanese-Language Institute, Kansai yang bertempat di Osaka, saya berasa amat bersyukur dan berbangga kerana diberi peluang keemasan ini.

Setelah sampai di Institut Bahasa Jepun Kansai di Rinku Town, Osaka, saya bersama 33 orang peserta dari sekitar negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Myanmar, Vietnam, Australia, New Zealand dan India diperkenalkan kepada tenaga pengajar serta kemudahan-kemudahan yang terdapat di sana. Walaupun tidak terdapat sebarang peperiksaan ataupun ujian, kami perlu melaksanakan tugasan-tugasan khas sepanjang enam minggu seperti memberi ucapan, menulis laporan dan membuat refleksi pembelajaran dalam bahasa Jepun bawah bimbingan guru-guru di sana. Pada akhir program pula, kami dikehendaki untuk membuat persembahan oral tentang topik yang diminati selepas menemu duga pelajar-pelajar universiti dan masyarakat tempatan.

Program JENESYS mempunyai tiga objektif utama yakni untuk membolehkan peserta untuk menjadi lebih berkeyakinan ketika bertutur dalam bahasa Jepun, untuk menemui sesuatu yang baru tentang masyarakat dan budaya Jepun serta untuk menentukan matlamat pembelajaran bahasa Jepun secara realistik. Ketiga-tiga objektif ini direalisasikan melalui aktiviti-aktiviti yang diatur khas untuk kami sepanjang enam minggu. Selain kelas formal, kami juga diberi peluang untuk menghayati budaya Jepun melalui sadou (upacara teh), wadaiko (rebana Jepun) dan Pesta Tanabata. Lawatan sambil belajar ke Osaka, Kobe, Hiroshima, Nara dan Kyoto juga sedikit sebanyak mendedahkan kami kepada tempat-tempat bersejarah dan hasil tempatan yang terkenal di Jepun.

Pada mulanya, saya berasa agak sukar untuk menyesuaikan diri di Jepun kerana tidak biasa dengan kepantasan orang Jepun bercakap. Ini menyebabkan saya berasa rendah diri terhadap keupayaan bahasa Jepun saya. Walaupun telah belajar bahasa Jepun selama 4 semester di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia, situasi sebenar di Jepun agak berbeza dengan suasana di dalam kelas. Dalam kelas, saya lebih banyak mendengar daripada berucap manakala di Jepun, saya perlu menggunakan bahasa Jepun bukan sahaja di dalam kelas tetapi dalam pelbagai situasi. Tambahan pula, orang Jepun di sekitar Osaka gemar menggunakan dialek Kansai yang sukar difahami orang asing apabila bercakap. Lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri dengan dialek Kansai dan kepantasan orang Jepun bercakap melalui kelas perbincangan, program television Jepun serta sesi interaksi dengan orang Jepun. Melalui interaksi bersama orang Jepun serta maklum balas daripada guru bahasa Jepun juga, saya mula menjadi lebih berkeyakinan dalam penggunaan bahasa Jepun yang berbeza mengikut jantina, status dan konteks.

Saya juga berpeluang untuk merasai kehidupan keluarga orang Jepun melalui program ‘Home Visit’. Saya bersama Oliver, peserta dari New Zealand, menghabiskan masa selama sehari dengan pasangan berumur 60-an di rumah mereka yang bertempat di Bandar Kumatori. Selain dapat belajar masakan Jepun tradisional seperti tempura dan temakizushi, kami juga diajar seni mengatur bunga yang dipanggil Ikebana. Masa yang selebihnya dihabiskan bergurau senda dan berbual-bual dengan pasangan ini yang sentiasa bersedia untuk menjawab soalan kami mengenai masyarakat Jepun. Pada masa yang sama, saya dan Oliver juga tidak lupa untuk memperkenalkan adat, makanan tradisional serta tempat-tempat pelancongan yang terkenal di negara kita kami kepada mereka.

Salah satu aspek yang amat saya sanjung tentang masyarakat Jepun adalah penggunaan ucapan selamat dan sikap mereka yang sopan santun. Perkataan-perkataan ‘konnichiwa’ (digunakan apabila memberi salam), ‘arigatou gozaimasu’ (terima kasih) dan ‘sumimasen’ (maaf) menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian saya sepanjang program JENESYS. Di samping itu, saya berasa sangat kagum terhadap semangat patriotisme dan sikap rakyat Jepun yang sentiasa meletakkan kepentingan orang lain sebelum diri mereka. Sejak tragedi 11 Mac yang melanda kawasan Fukushima, penjanaan elektrik di Jepun telah mengalami masalah yang serius. Demi mengurangkan beban kerajaan, rakyat Jepun berusaha keras untuk menjimat bekalan elektrik bukan sahaja di rumah tetapi di tempat bekerja. Ketika berada di Akihabara, pusat bandar elektronik yang berada di Tokyo, penghawa dingin di kebanyakan kedai ditetapkan pada suhu 28 darjah celsius sahaja walaupun cuaca pada masa itu panas terik. Selain itu, kain rentang ‘Ganbarou Nihon’ dipamerkan di bandar-bandar utama Jepun untuk memberi semangat kepada mangsa tsunami supaya tabah meneruskan hidup.

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih terutamanya kepada guru-guru bahasa Jepun di Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, PPBL, UKM, The Japan Foundation Kuala Lumpur serta Institut Bahasa Jepun, Kansai kerana telah memberi saya peluang keemasan ini untuk mendalami aspek-aspek budaya dan cara hidup masyarakat Jepun di samping peluang untuk mempraktikkan bahasa Jepun yang telah saya pelajari. Selain gambar sebagai kenangan, hubungan persahabatan yang terjalin dengan orang di negara matahari terbit akan saya hargai sambil bila-bila.





No comments: