Wednesday 28 December 2011

GANBAROU NIHON!



JENESYS (Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths) anjuran The Japan Foundation Japanese-Language Institute, Kansai yang bertempat di Osaka,

Nama Pelajar: Dwee Chiew Yen.

Pengalaman belajar bahasa Jepun : Bahasa Jepun Pertengahan 2 (Level 4)

Pelajar ini telah berjaya terpilih di antara 33 orang peserta dari sekitar negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Myanmar, Vietnam, Australia, New Zealand dan India untuk menyertai program Jenesys yang ditaja oleh Japan Foundation sepenuhnya ini. Program JENESYS mempunyai tiga objektif utama yakni untuk membolehkan peserta untuk menjadi lebih berkeyakinan ketika bertutur dalam bahasa Jepun, untuk menemui sesuatu yang baru tentang masyarakat dan budaya Jepun serta untuk menentukan matlamat pembelajaran bahasa Jepun secara realistik.

Pengalaman pelajar ini telah berjaya mendapat tempat di dalam SENADA edisi terbaru UKM.

Diharap dengan adanya terbitan seperti ini akan dapat memberi semangat kepada pelajar dan mempromosikan lagi Unit Bahasa Asing sebagai pilihan untuk mempelajari bahasa asing.


Artikel yang dipaparkan dalam SENADA. Sila dapatkan isu terbaru SENADA!

GANBAROU NIHON!

Peristiwa menjejakkan kaki di negara matahari terbit dari 8 Jun sehingga 20 Julai 2011 merupakan suatu pengalaman manis yang tidak akan dapat saya lupakan. Sebagai satu-satunya wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditawarkan untuk menyertai program JENESYS (Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths) anjuran The Japan Foundation Japanese-Language Institute, Kansai yang bertempat di Osaka, saya berasa amat bersyukur dan berbangga kerana diberi peluang keemasan ini.

Setelah sampai di Institut Bahasa Jepun Kansai di Rinku Town, Osaka, saya bersama 33 orang peserta dari sekitar negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Myanmar, Vietnam, Australia, New Zealand dan India diperkenalkan kepada tenaga pengajar serta kemudahan-kemudahan yang terdapat di sana. Walaupun tidak terdapat sebarang peperiksaan ataupun ujian, kami perlu melaksanakan tugasan-tugasan khas sepanjang enam minggu seperti memberi ucapan, menulis laporan dan membuat refleksi pembelajaran dalam bahasa Jepun bawah bimbingan guru-guru di sana. Pada akhir program pula, kami dikehendaki untuk membuat persembahan oral tentang topik yang diminati selepas menemu duga pelajar-pelajar universiti dan masyarakat tempatan.

Program JENESYS mempunyai tiga objektif utama yakni untuk membolehkan peserta untuk menjadi lebih berkeyakinan ketika bertutur dalam bahasa Jepun, untuk menemui sesuatu yang baru tentang masyarakat dan budaya Jepun serta untuk menentukan matlamat pembelajaran bahasa Jepun secara realistik. Ketiga-tiga objektif ini direalisasikan melalui aktiviti-aktiviti yang diatur khas untuk kami sepanjang enam minggu. Selain kelas formal, kami juga diberi peluang untuk menghayati budaya Jepun melalui sadou (upacara teh), wadaiko (rebana Jepun) dan Pesta Tanabata. Lawatan sambil belajar ke Osaka, Kobe, Hiroshima, Nara dan Kyoto juga sedikit sebanyak mendedahkan kami kepada tempat-tempat bersejarah dan hasil tempatan yang terkenal di Jepun.

Pada mulanya, saya berasa agak sukar untuk menyesuaikan diri di Jepun kerana tidak biasa dengan kepantasan orang Jepun bercakap. Ini menyebabkan saya berasa rendah diri terhadap keupayaan bahasa Jepun saya. Walaupun telah belajar bahasa Jepun selama 4 semester di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia, situasi sebenar di Jepun agak berbeza dengan suasana di dalam kelas. Dalam kelas, saya lebih banyak mendengar daripada berucap manakala di Jepun, saya perlu menggunakan bahasa Jepun bukan sahaja di dalam kelas tetapi dalam pelbagai situasi. Tambahan pula, orang Jepun di sekitar Osaka gemar menggunakan dialek Kansai yang sukar difahami orang asing apabila bercakap. Lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri dengan dialek Kansai dan kepantasan orang Jepun bercakap melalui kelas perbincangan, program television Jepun serta sesi interaksi dengan orang Jepun. Melalui interaksi bersama orang Jepun serta maklum balas daripada guru bahasa Jepun juga, saya mula menjadi lebih berkeyakinan dalam penggunaan bahasa Jepun yang berbeza mengikut jantina, status dan konteks.

Saya juga berpeluang untuk merasai kehidupan keluarga orang Jepun melalui program ‘Home Visit’. Saya bersama Oliver, peserta dari New Zealand, menghabiskan masa selama sehari dengan pasangan berumur 60-an di rumah mereka yang bertempat di Bandar Kumatori. Selain dapat belajar masakan Jepun tradisional seperti tempura dan temakizushi, kami juga diajar seni mengatur bunga yang dipanggil Ikebana. Masa yang selebihnya dihabiskan bergurau senda dan berbual-bual dengan pasangan ini yang sentiasa bersedia untuk menjawab soalan kami mengenai masyarakat Jepun. Pada masa yang sama, saya dan Oliver juga tidak lupa untuk memperkenalkan adat, makanan tradisional serta tempat-tempat pelancongan yang terkenal di negara kita kami kepada mereka.

Salah satu aspek yang amat saya sanjung tentang masyarakat Jepun adalah penggunaan ucapan selamat dan sikap mereka yang sopan santun. Perkataan-perkataan ‘konnichiwa’ (digunakan apabila memberi salam), ‘arigatou gozaimasu’ (terima kasih) dan ‘sumimasen’ (maaf) menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian saya sepanjang program JENESYS. Di samping itu, saya berasa sangat kagum terhadap semangat patriotisme dan sikap rakyat Jepun yang sentiasa meletakkan kepentingan orang lain sebelum diri mereka. Sejak tragedi 11 Mac yang melanda kawasan Fukushima, penjanaan elektrik di Jepun telah mengalami masalah yang serius. Demi mengurangkan beban kerajaan, rakyat Jepun berusaha keras untuk menjimat bekalan elektrik bukan sahaja di rumah tetapi di tempat bekerja. Ketika berada di Akihabara, pusat bandar elektronik yang berada di Tokyo, penghawa dingin di kebanyakan kedai ditetapkan pada suhu 28 darjah celsius sahaja walaupun cuaca pada masa itu panas terik. Selain itu, kain rentang ‘Ganbarou Nihon’ dipamerkan di bandar-bandar utama Jepun untuk memberi semangat kepada mangsa tsunami supaya tabah meneruskan hidup.

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih terutamanya kepada guru-guru bahasa Jepun di Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, PPBL, UKM, The Japan Foundation Kuala Lumpur serta Institut Bahasa Jepun, Kansai kerana telah memberi saya peluang keemasan ini untuk mendalami aspek-aspek budaya dan cara hidup masyarakat Jepun di samping peluang untuk mempraktikkan bahasa Jepun yang telah saya pelajari. Selain gambar sebagai kenangan, hubungan persahabatan yang terjalin dengan orang di negara matahari terbit akan saya hargai sambil bila-bila.





Tuesday 27 September 2011

UKM rangkul 2 pingat emas dan perak

Disember 2009- Pelajar UKM telah merangkul pingat emas dan perak dalam pertandingan pementasan drama pendek yang dianjurkan oleh Japan Foundation.Pertandingan ini telah berlangsung di Pusat pengajian bahasa dan linguistik,UKM.Pertandingan ini juga disertai oleh pelajar yang mempelajari bahasa Jepun dari UPSI, UUM dan lain-lain institusi tinggi di Malaysia.

Pingat emas 1:
Pemenang menerima sebuah trofi dan baucer bernilai RM300 setiap seorang
Tajuk drama- Switching roles Mother and Daughter (母が私で、私が母で)
Peserta
1.Lim Hui Yee
2.Yeo Huey Ling
3.Tan Ming Kun

Pingat emas 2:

Pemenang menerima sebuah trofi dan baucer bernilai RM300 setiap seorang
Tajuk drama- Twins manupulated time (時間を操る双子)
Peserta
1.Low Kok Wing
2.Ng Chia Sin
3.Teng Her Lee

Pingat perak :
Pemenang menerima sebuah trofi dan baucer bernilai RM200 setiap seorang
Tajuk drama- Walk in Interview (アルバイトの面接)
Peserta
1.Chu Ai Wei
2.Tan Sze Sze
3.Sai Mei Sen

Berita tentang kemenangan pelajar UKM ini juga dipaparkan di dalam majalah TEMAN BARU yang dikeluarkan oleh Japan Foundation edisi bulan Disember 2009- Januari 2010.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada pemenang!






Sunday 25 September 2011

Festival Bahasa Antarabangsa 2011

Pada 8-10 Mac 2011, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Unit Bahasa Asing dan terjemahan telah mengadakan satu festival antaranbangsa yang meliputi pelbagai bahasa-bahasa asing. Pada hari tersebut Unit bahasa Jepun telah membuat pelbagai aktiviti seperti peluang memakai Yukata, menjual makanan Jepun ( choco Banana, Zaru Soba, Zaru Udon, Okonomiyaki) dan Wanage. Aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut mendapat sambutan yang meriah sekali.Pengarah Japan Foundation, En.Toyoda Shoichi dan ketua bahagian Bahasa Jepun Japan Foundation En. Isogaya Hiroyuki juga turut serta melawat festival tersebut. Tetamu jemputan yang lain, Bambu Club juga sama-sama membuka gerai membuat Taketonpo di festival tersebut. Para pelajar diajar membuat Taketonpo sejenis permainan yang dibuat daripada buluh.Tetamu jemputan, Pn. Tamaki Ogata juga turut menyumbangkan tenaga mengajar peserta-peserta membuat Japanese brooch yang menggunakan kain perca dari kain Kimono. Gambar gerai unit bahasa Jepun telah masuk dalam suratkhabar Kosmo! pada keesokan harinya. Syabas diucapkan.














Unit bahasa Jepun juga telah membuat persembahan yang memaparkan watak-watak animasi yang pelajar UKM gemari. Sebelum persembahan ini dibuat, pelajar kursus bahasa Jepun pertengahan 1 dan 2 telah membuat soal selidik di kalangan pelajar di UKM mengenai anime yang paling mereka gemari.Hasil soal selidik ini telah dijadikan persembahan semasa upacara penutup festival kali ini.


Terima Kasih diucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah banyak membantu menguruskan gerai pada hari tersebut.Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pengunjung-pengunjung yang singgah di gerai mahupun yang menyertai aktiviti yang telah kami anjurkan.






Wednesday 7 January 2009

JADUAL KURSUS BAHASA JEPUN SEM 2 SESI 0809



This is the fixed time table for 2nd sem 0809.

Tuesday 16 September 2008

Japanese Language Proficiency Test 2008

Seramai 57 pelajar dari Unit Bahasa Asing dan Terjemahan telah mendaftar untuk menduduki Japanese Language Proficiency Test 2008 Level 3 dan Level 4.

50 pelajar akan menduduki peperiksaan di Kuala Lumpur, 2 di Ipoh, Perak dan 5 di Pulau Pinang pada 7 December 2008.

Pelajar-pelajar yang mengambil bahasa Jepun di UKM digalakkan untuk mengambil peperiksaan ini sebagai nilai tambah pada ijazah mereka ketika mencari kerja kelak.